SELEPAS 51 tahun merdeka, perkembangan ekonomi orang Melayu masih belum begitu menggembirakan. Laporan Penyiasatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2007 yang disiarkan kelmarin telah membuktikannya.
Jika kita meneliti satu persatu perangkaan yang dipaparkan yang melibatkan pendapatan isi rumah untuk tiga kaum utama di Malaysia, ternyata dikategori low end adalah milik kita.
Bagi tahap pendapatan di bawah RM2,000 sebulan, terdapat 1,277,500 isi rumah Melayu digolongkan dalam kategori berkenaan berbanding hanya 389,200 isi rumah untuk kaum Cina dan 154,300 isi rumah bagi kaum India. Tampaknya, kita golongan yang paling mundur antara ketiga-tiga kaum berkenaan.
Maklumat yang menyatakan kedudukan prestasi penjanaan isi rumah ini pada penulis dilihat begitu penting kerana ia berlawanan sama sekali dengan sikap dan pemikiran segelintir orang Melayu pada masa kini.
Pemikiran segelintir orang Melayu hari ini di lihat begitu ekstrem, dinamis dan kritis. Mereka tidak lagi memikirkan survival bangsa mereka. Mereka mahu mencari kelainan, keadilan dan pilihan alternatif baru.
Mereka seolah-olah sudah begitu selesa dengan kehidupan dan pencapaian yang ada. Seakan-akan mereka sudah berjaya dalam segenap segi termasuk ekonomi.
Pelbagai istilah baru meniti di bibir mereka setiap hari. Apa yang ada hari ini tidak pernah mahu disyukuri. Bahkan ada segelintir orang Melayu turut mahu kerajaan yang memimpin sekarang segera diganti.
Keadaan ini menguatkan lagi hujah penulis bahawa segelintir orang Melayu itu sendiri sudah merasakan dirinya mewah. Cukup serba-serbi. Makan dan pakai semuanya tiada masalah lagi.
Jika mengikut fakta sejarah, sekiranya orang Melayu sedang bermasaalah, mereka tidak akan ada masa untuk memikirkan itu semua. Mereka tidak akan ada masa untuk berbalah.
Tetapi, sekarang tampaknya orang Melayu itu sebenarnya bukan semua sudah berjaya. Mewahnya Melayu hanya fantasi, bukan realiti. Yang berjaya hanya sebilangan kecil. Ada lebih daripada satu juta lagi isi rumah Melayu yang rupanya masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Jika kita lihat mereka yang berpendapatan isi rumah di bawah RM1,000 sebulan memang boleh dikategorikan berada di bawah tahap kemiskinan jika diambil kira senario sekarang.
Dengan harga barang keperluan harian seperti beras, minyak masak, petrol dan lain-lain yang masih boleh dikatakan tinggi, pendapatan RM1,000 sebulan memang tidak memadai sama sekali.
Bagi yang menjana RM2,000 sebulan pula, mereka hanya setakat boleh bernafas lega sahaja dalam mengharungi kehidupan seharian dengan tahap kos saraan hidup seperti dewasa ini.
Realitinya, taraf hidup kita sebenarnya tidak pernah berubah meskipun kita kelihatan sudah bertambah mewah. Kita jangan lupa, membeli dan memiliki sebuah kereta Proton Saga hari ini analoginya adalah sama sahaja dengan membeli dan memiliki sebuah motosikal pada tahun 1970-an.
Ia adalah keperluan paling asas dalam meneruskan kehidupan harian. Tidak ada yang perlu dibanggakan. Pendek kata, yang bermotosikal Honda EX5 hari ini belum tentu hidup senang. Ada yang mungkin terpaksa membuat dua kerja untuk melengkapi kehendak dan keperluan rumahtangganya.
Kita jangan cepat terasa kehidupan isi rumah sudah mewah hanya kerana sudah mampu membeli dua atau tiga buah motosikal baru ataupun hanya kerana kita sudah mampu memandu kereta Wira atau mempunyai dua keping kad kredit.
Realitinya kehidupan kita tidak semewah mana. Ini kerana kehidupan kita dibantu oleh pelbagai kemudahan kredit dan kewangan yang ada diberikan pada hari ini.
Nak beli kereta, zero down payment. Nak pakai kad kredit, hanya perlukan gaji layak minimum RM1,500. Nak naik kapal terbang, hanya RM79.50 dari Senai ke LCCT. Nak beli perabot, hanya RM22 seminggu. Semua ini berupa kemudahan yang membantu kita meneruskan kehidupan. Oleh itu, kita jadi alpa kerananya.
Kita harus berpijak di bumi nyata. Kita sebenarnya amat jauh ketinggalan dari segi penjanaan ekonomi keluarga berbanding kaum lain di Malaysia. Itulah hakikatnya.
Sekurang-kurangnya angka yang diterbitkan itu dapat menyedarkan kita betapa mundurnya kita dari segi ekonomi. Kita perlu berusaha lebih keras untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kita.
Bukan membuang masa di kedai kopi di kepala simpang dengan duduk berbual soal politik dari pagi sampai petang. Sebenarnya kita tidak mampu untuk membuang masa begitu. Biarkan orang politik yang berpolitik. Kita juga tidak mampu untuk bergasak sesama Melayu, kita sebenarnya mesti terus bersatu menguatkan barisan bagi memperkuatkan ekonomi orang melayu.
Jika kita sesama kita terus bercakaran, ekonomi dan masa depan akan terus menjadi malap. Pihak lain yang pantas menghidu peluang pula yang akan mengambil kesempatan di atas sikap kita yang tidak bijaksana.
Ekonomi negara kini hampir 60 peratus dibolot kaum tertentu, dan sekiranya orang Melayu masih terus lena dan bersyak wasangka sesama kita, maka tidak mustahil dalam sepuluh tahun lagi seratus peratus ekonomi kita akan terlepas ke tangan mereka.
Dalam pada itu kuasa politik kita juga, yang tampaknya semakin hari semakin dicabar dan tercabar, akan menyebabkan kita bakal kehilangan daya juang ekonomi dengan lebih cepat lagi.
Ini kerana kedua-duanya berkait rapat dan bergerak seiring dalam menentukan jatuh atau bangunnya orang Melayu.
Oleh itu, sedarlah wahai segelintir orang Melayu yang terlupa. Sebenarnya ada banyak lagi perjuangan lain yang perlu disegerakan. Berpadalah mengkritik rakan sebangsa, bersatulah untuk menguatkan ekonomi bersama.
Kita tidak boleh leka dan lalai selamanya. Perkuatkan ekonomi Melayu yang ketika ini hanya menjadi penumpang ekonomi semasa. Anjakkan minda kita semoga angka itu juga akan turut berubah sama.
SYED MAZLAN SYED MAT DOM
UiTM Johor Bahru
[Utusan Malaysia, Forum, 13 November 2008]
0 Comments
P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.
Emoji