Oleh Siti Fatimah Abdul Rahman, Rencana, Utusan Malaysia, 9 Januari 2009.
Seorang rakan sekerja yang menghadiri satu acara anjuran sebuah jabatan kerajaan di sebuah hotel telah menghantar khidmat pesanan ringkas yang berikut: "Apa la jabatan X ni, pilih hotel yang tandasnya pun tak ada paip air, menyampah betul teman, tau!" Penulis yang baru-baru ini berkesempatan untuk hadir ke sebuah seminar di Tokyo dan telah berkongsi pengalaman beberapa hari di sana dengan rakan sekerja tersebut, membalas, "Isy-isy... isy orang Jepun pun lebih Islami daripada mereka!"
Sebagai umat Islam, kita tahu bahawa air amat penting bagi tujuan bersuci selepas ke tandas. Tandas yang tiada air amat menyusahkan, tambah pula jika kita perlu berada di tempat itu dari pagi hingga petang dan perlu menunaikan solat Zuhur di situ. Penulis faham perasaan rakan tersebut. Penulis juga pernah beberapa kali berhadapan dengan keadaan seperti ini.
Agak menghairankan apabila jabatan kerajaan di Malaysia tidak mengambil kira perihal keadaan tandas hotel ketika membuat keputusan untuk memilih sesebuah hotel bagi menganjurkan acara mereka. Mungkin yang lebih diutamakan ialah harga yang perlu dibayar serta menu makanannya. Keadaan tandas hotel yang ada kaitan dengan tujuan bersuci serta solat Zuhur para hadirinnya, bukanlah ciri penting untuk dipertimbangkan.
Rakan sekerja di atas sebenarnya pernah tinggal di Jepun selama dua tahun untuk melanjutkan pelajaran iaitu di sekitar 1990-an. Sebelum penulis bertolak ke Jepun tempoh hari, beliau ada berpesan, "Kalau nak jalan-jalan, bawa botol kosong. Tandas awam di Jepun tak ada paip".
Namun, selama empat hari di Jepun, penulis tiada masalah dengan tandas di sana. Malah penulis tidak perlu membawa botol kosong pun kerana tandas mereka, baik di lapangan terbang, di hotel, mahupun di pejabat Japan Institute of International Affairs (JIIA) di mana seminar itu diadakan, bukan sahaja bersih, wangi dan kering, ia juga dilengkapi dengan kemudahan untuk bersuci yang canggih, tanpa paip mahupun pili.
Malah, sebaik-baik duduk di atas pelapik tandasnya, keluarlah bunyi muzik yang menenangkan - yang boleh ditingkatkan atau dikurangkan bunyinya - khusus untuk mengelakkan bunyi-bunyian yang kurang enak dari dalam bilik kecil itu didengari oleh pengguna tandas yang lain. Tisu tandasnya pula, walaupun diperbuat daripada kertas terpakai, namun ia amat bermutu dan pengguna tidak berfikir dua kali untuk mengelap muka dengannya.
Selain kemudahan tandas yang memenuhi keperluan pengguna Muslim, jalan raya yang penulis lalui sepanjang di Tokyo ini juga bersih. Teringat penulis ketika kami, para peserta seminar berjalan dari hotel ke tempat seminar seawal 8.30 pagi, seorang rakan sekerja yang turut serta dalam seminar itu menyuarakan pemerhatiannya.
"Jalan raya mereka bersih, tetapi kita tak nampak pun tukang sapunya. Bila mereka bersihkan jalan ini agaknya?" Secara spontan, penulis menjawab, "Mungkin mereka tidak perlu tukang sapu kerana tiada siapa yang membuang sampah merata-rata!" Bayangkan jika Kuala Lumpur tiada tukang sapu!
Penulis juga berkesempatan menggunakan pengangkutan awam di bandar raya Tokyo dari lapangan terbang ke hotel dan dari hotel ke lapangan terbang. Ketika bas mula bergerak meninggalkan lapangan terbang, para penumpang diingatkan untuk memasang tali pinggang keledar demi keselamatan.
Pada pandangan penulis, tali pinggang keledar itu sebenarnya tidak perlu kerana pemandunya memandu dengan begitu berhati-hati sekali.
Para penumpang juga diingatkan untuk tidak menggunakan telefon bimbit kerana dibimbangi akan mengganggu ketenteraman penumpang yang lain. Bandingkan dengan Malaysia, bukan sahaja dalam pengangkutan awam, dalam pawagam dan dewan seminar pun orang masih berbual menggunakan telefon bimbit!
Ketika menunggu bas untuk ke lapangan terbang dalam perjalanan pulang, kami dimaklumkan bahawa atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, bas akan tiba agak lewat. Daripada usaha mereka memaklumkan kami tentang perkara itu, kami menjangkakan bas itu akan lewat 30 minit. Rupa-rupanya bas tersebut lewat lima minit sahaja. Bas lewat lima minit pun bersusah-payah memaklumkan para penumpang! Di Malaysia?
Penulis sedar bahawa empat hari di Tokyo serta hanya berada di sekitar lapangan terbang, hotel dan pejabat JIIA, belum melayakkan penulis untuk membuat kesimpulan mengenai masyarakat Jepun. Namun, penulis yakin bahawa ramai yang bersetuju bahawa "tanggapan pertama" boleh memberi kesan yang mendalam dan berpanjangan.
Persoalannya, bilakah agaknya masyarakat Malaysia yang kononnya dikenali sebagai 'negara Islam' ini boleh memberikan "tanggapan pertama" yang Islami? Tandas yang memenuhi keperluan bersuci, kebersihan persekitaran serta kemudahan pengangkutan awam yang selesa dan selamat adalah antara perkara-perkara yang dituntut oleh agama Islam. Maka pastikan ia diuruskan dengan sebaiknya agar dapat memberi manfaat kepada semua.
1 Comments
hey... main blog aku yang nih http://adeqabang2704.blogspot.com/ jangan kompius... hehe
ReplyDeleteP/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.
Emoji