Aku nak jadi...

Pada suatu hari, seorang tukang batu sedang bekerja di kaki gunung untuk memecah batu. Pada masa itu, cuaca sangat panas dan terik sehinggakan Si Tukang Batu selalu mengeluh kerana terpaksa berjemur di bawah panas sehingga basah lenjun oleh peluhnya sendiri.

"Ah, panas sungguh hari ini! Mengapalah aku menjadi manusia untuk bekerja di bawah matahari terik ini? Aku tak mahu menjadi manusia lagi!" keluh Si Tukang Batu.

Seketika kemudian, Allah menghantar seorang malaikat penjaga matahari untuk menunaikan permintaan Si Tukang Batu.


"Wahai Tukang Batu, kamu selalu mengeluh kerana terpaksa berjemur di bawah panas matahari. Allah menghantarku kepadamu untuk menunaikan permintaanmu," kata malaikat penjaga matahari.

"Oh, ya kah? Aku mahu menjadi matahari! Matahari sungguh gagah dan kuat! Aku mahu jadi matahari!" Jawab Si Tukang Batu.

Maka dengan sekelip mata, permintaan Si Tukang Batu tertunai. Dengan bangganya, Si Tukang Batu menunjukkan kegagahan dan kekuasaannya sebagai matahari. Si Tukang Batu memancarkan cahayanya seterik yang boleh serta mengakibatkan kemarau yang teruk kepada bumi selama 40 hari.

http://www.geographyalltheway.com/igcse_geography/natural_environments/climate_ecosystems/imagesetc/drought.jpg

Selepas 40 hari, awan mula berkumpul di bawahnya dan menghalang pancaran cahaya Si Tukang Batu lalu mencurahkan hujan. Si Tukang Batu tak berpuas hati.

"Cis! Awan menghalang pancaran sinarku! Aku tak suka! Aku tak mahu jadi matahari! Aku nak jadi awan!" keluh Si Tukang Batu.

Maka, Allah menghantar malaikat penjaga awan untuk menunaikan permintaan Si Tukang Batu.

http://blogs.trb.com/news/weather/weblog/wgnweather/20080206_flood01.jpg

"Wahai Tukang Batu, kamu mengeluh kerana awan telah menghalang pancaran terikmu. Allah menghantarku kepadamu untuk menunaikan permintaanmu," kata malaikat penjaga awan.

"Aku nak jadi awan! Awan lebih berkuasa dari matahari! Awan mampu menghalang pancaran matahari! Aku nak jadi awan!" pinta Si Tukang Batu.

Dengan serta merta, Si Tukang Batu bertukar menjadi awan. Maka Si Tukang Batu dengan megahnya melitupi seluruh langit sehingga tiada pun cahaya matahari berjaya menembusinya lalu mencurahkan hujan yang sangat lebat sehingga 40 hari.

Setelah 40 hari, angin bertiup kencang lalu memecahkan awan yang melitupi langit sehinggalah cahaya matahari berjaya menembusi tubuh Si Tukang Batu.

"Cis! Awan tak kuat! Aku tak mahu jadi awan lagi! Awan terlalu lemah dengan angin!" keluh Si Tukang Batu.

Sejurus itu, Allah menghantar malaikat penjaga angin untuk menunaikan permintaan Si Tukang Batu.

http://www.janolby.se/mixedemotions/images/20060828191224_tornado-2.jpg

"Wahai Tukang Batu, kamu mengeluh kerana angin telah meniup dirimu lalu memecahkan kamu dari melitupi seluruh langit. Allah menghantarku kepadamu untuk menunaikan permintaanmu," kata malaikat penjaga angin.

"Ya! aku tak mahu jadi awan lagi! Aku mahu menjadi angin! Angin sungguh gagah! Angin mampu memecahkan awan!" pinta Si Tukang Batu.

Lalu, permintaannya ditunaikan. Si Tukang Batu sungguh gembira. Dia meniupkan angin sekencang-kecangnya dengan kekuasaan yang dia ada. Dia berasa sungguh berkuasa dan bebas. Habis dataran bumi ranap kerana ditiup oleh angin Si Tukang Batu selama 40 hari.

Namun begitu, kuasa angin yang kuat itu tidak dapat meranapkan gunung. Walau sekuat mana pun kuasa angin Si Tukang Batu itu, gunung tetap berdiri gagah. Tidak seperti ombak dan tanaman di daratan yang telah huru hara diperlakukan oleh Si Tukang Batu. Gunung tetap kukuh berdiri.

"Aku tak suka! Tiupan aku tak mampu menumbangkan gunung! Aku tak suka jadi angin! Angin lemah! Aku mahu jadi gunung! Gunung sungguh gagah!" keluh Si Tukang Batu.

Lalu Allah menghantar seorang malaikat penjaga gunung untuk menunaikan permintaan Si Tukan Batu.

"Wakai Tukang Batu, kamu mengeluh kerana tiupanmu tak mampu menumbangkan gunung. Allah menghantarku kepadamu untuk menunaikan permintaanmu," kata malaikat penjaga gunung.

http://www.alharris.com/gallery/mountain/mountain00.jpg

"Aku mahu jadi gunung! Gunung sungguh gagah perkasa! Aku mahu jadi gunung!" pinta Si Tukang Batu.

Lalu permintaannya dimakbulkan. Maka berdirilah Si Tukang Batu sebagai gunung yang gagah dan perkasa. Sekian lama Si Tukang Batu berdiri gagah, dia mendapati satu demi satu sahabat gunungnya rebah satu per satu. Semakin banyak gunung telah menjadi rata. Si Tukang Batu semakin takut. Lama kelamaan tinggal Si Tukang Batu sahaja yang tinggal untuk diratakan.

Si Tukang Batu melihat, siapakah yang telah meratakan sahabat-sahabatnya. Lalu, barulah dia sedar yang meratakan semua sahabatnya adalah tukang batu, iaitu manusia yang kerdil sahaja berbanding gunung yang besar dan gagah. Lalu, kerja meratakan Si Tukang Batu bermula dan Si Tukang Batu mula rasa sakit kerana dirinya telah mula diratakan.

Lalu, Si Tukang Batu berdoa kepada Allah, "ya Allah! Aku bertaubat kepadaMu! Sesungguhnya Kau telah mencipta diriku seadanya dan yang terbaik dalam segala ciptaanMu ya Allah! Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, ya Allah. Ampunilah dosa-dosaku kerana kekufuranku. Kembalikanlah diriku kepada yang sal ciptaanMu, ya Allah. Aku bertaubat kepadaMu!". Si Tukang Batu menangis teresak-esak kerana keinsafan dirinya.

Lalu Allah menghantar malaikat Jibrail untuk menunaikan permintaan Si Tukang Batu.

"Wahai tukang batu, aku adalah Jibrail. Aku diperintahkan oleh Allah untuk menunaikan permintaanmu. Pintalah kepadaku, dengan izin Allah, aku akan menunaikan permintaanmu itu," kata Jibrail kepada Si Tukang Batu.

"Wahai Jibrail, aku memohon aga dikembalikan aku kepada penciptaan aku yang asal iaitu manusia. Aku bertaubat. Sesungguhnya Allah adalah yang paling berkuasa dalam segalanya," mohon Si Tukang Batu.

Seketika kemudian, Si Tukang Batu kembali kepada keadaan asalnya, iaitu sebagai manusia dan tukang batu. Kali ini, Si Tukang Batu tidak lagi mengeluh dengan segala dugaan yang melanda. Malah Si Tukang Batu sentiasa bersyukur dengan nikmat sebagai seorang manusia.

Ingatlah rakan-rakan, sememangnya dugaan dan rintangan banyak kita terima sebagai manusia. Tidakkah kamu ingat akan kata-kata Allah dalam Surah at-Tin: 4 yang berbunyi "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya" Ini adalah bukti dalam segala ciptaan Allah, manusia adalah ciptaanNya yang terbaik sebaik-baik kejadian.

Itulah sebabnya manusia diantik untuk menjadi khalifah di muka bumi ini untuk memimpin makhluk-makhluk lain untuk menjalani kehidupan di dunia ini sebagai hamba Allah.

Ingatlah wahai rakan-rakan, tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah rasul utusanNya.

Wllahualam.


"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya"
(At-Tin: 4)

Post a Comment

0 Comments