Hari itu juga merupakan hari yang sesuai untuk aku mencari assesori pertunangan aku untuk aku serahkan kepada bakal cinta aku. Sudah lama aku mengumpul wang dari usaha aku sendiri. Aku harap assesori ini akan mengekalkan perhubungan aku dan cinta aku itu.
Aku mengelilingi seluruh tempat yang menjual assesori yang aku cari itu. Kebanyakannya sungguh berharga! Luar dari kemampuan aku! Aku hampir-hampir sahaja berasa begitu hampa kerana aku tak dapat mencari apa yang aku cari-carikan.
Akhirnya, aku berhenti di sebuah kedai lalu bertanyakan tentang asesori yang aku cari itu. Kemudian, tanpa membuang masa, orang yang menjaga kedai itu menunjukkan assesori yang aku cari-cari selama ini. Mataku bersinar-sinar. Jiwaku berasa gembira yang teramat sangat. Aku menjumpai sesuatu yang sangat sesuai untuk bakal cinta aku. Dalam kegembiraan itu, sesuatu telah menyebabkan aku kembali kecewa. Jumlah modal aku kurang sedikit sahaja dengan nilai assesori tersebut. Aku memintanya agar menurunkan lagi harganya untuk digenapkan kepada jumlah wang yang aku ada. Usaha aku gagal. Lalu aku meminta tolong Hazzal untuk membayar sedikit jumlah yang aku kurang itu. Hazzal sungguh baik hati. Dia membantuku. Maka, aku dapat membeli assesori yang aku cari selama ini.
Apabila tiba masa untuk pulang, aku tiada wang untuk membayar teksi, kerana wang aku habis untuk membayar assesori itu. Aku gelisah. Bagaimana aku nak pulang? Lalu, aku terdengar suatu ungkapan yang menyelamatkan aku, "tak apa, kau tumpang je aku. Lagi pun kereta aku dah nak sampai." Hazzal sekali lagi menyelamatkan aku. Aku amat berhutang budi dengannya. Terima kasih Hazzal. Budimu akan kukenang sampai bila-bila. Aku pulang dengan menumpang Mercedes-Benz keluarganya.
Aku sungguh gembira dengan adanya assesori itu. Aku menjaganya dengan rapi. Tiada cela pun yang akan hinggap pada assesori tersebut. Setahun kemudian aku bertemu dengan cinta sejatiku. Padannya sungguh cantik bila dikenakan assesori itu kepada cintaku itu. Aku menjaga kedua-duanya dengan amat teliti.
Pada suatu hari, assesori itu rosak tanpa diduga. Aku gelisah. Bagaimana boleh rosak sedangkan aku menjaganya dengan amat teliti? Lalu aku pergi semula ke kedai tempat yang aku beli assesori itu. Nasib baiklah assesori itu mempunyai jaminan sehingga 5 tahun. Lalu orang yang mejaga kedai itu berkata kepadaku, "sila datang semula dalam tiga hari. Jika ada apa-apa masalah nanti kami call Encik."
Aku pasrah. Aku menunggulah selama tiga hari. Tiga hari kemudian, aku pergi ke kedai tersebut. Dia meminta maaf kerana assesori tersebut tidak boleh dibaiki lagi. Lalu dia menggantikannya dengan assesori yang baharu dan lebih baik. Aku terima sahaja. Apabila aku pulang, cintaku menerima sahaja seadanya. Aku berasa sungguh lega kerana cintaku itu amat memahami aku.
Dua tahun berlalu. Assesori itu dilihat sudah agak ketinggalan zaman. Banyak insan-insan lain mengejek aku dan cintaku kerana menggunakan assesori yang sudah ketinggalan zaman. Aku tak kisah, kerana assesori inilah yang meningkatkan lagi rasa sayang aku kepada cintaku.
Pada suatu hari, aku pulang ke bilik aku. Lalu aku mencari assesori itu di seluruh tempat. Aku tak menjumpainya. Aku pergi ke sana, pergi ke sini tetapi usaha aku masih gagal untuk menemukan assesori itu. Mungkin ada orang yang menghilangkannya! Siapakah dia? Aku berasa amat sedih. Tanpa assesori itu, aku tak boleh hidup dengan bahgia bersama cintaku itu. Tiga bulan kami hidup tanpa assesori tersebut. Kali ini, aku nekad untuk mencarikan assesori yang baharu untuk cintaku. Cintaku tak pernah mengeluh dan dia bersetuju sahaja. Tak kisahlah jika tidak dapa jumpa assesori yang lama itu, asalkan pengganti ini akan memudahkan hidup kami.
Suatu hari, aku mencari assesori yang baharu. Aku cuba mencari bentuk yang hampir sama dengan yang lama itu, tetapi aku tidak jumpa lagi. Yang aku jumpa hanyalah assesori keluaran baharu. Aku agak kecewa, tetapi demi kesinambungan hidup, aku beli sahaja yang baharu. Walaupun lebih baik dari yang lama, tetapi aku tetap menyayangi yang lama itu.
Kini, aku dan cintaku hidup bahagia kembali. Assesori ini sudahpun setahun lebih aku jaga dan keadaannya masih baik. Aku berharap kasih aku kepada cintaku dan assesori ini akan kekal berpanjangan walaupun tak kekal selamanya.
*****
Tahukah kamu, apakah assesori pertunangan itu? Sila lihat di bawah (mengikut kronologi):
Mengikut sejarah, aku membeli pen drive pertama aku dengan harga RM158 dengan kapasiti hanya 512MB. Aku cuma kurang RM8.00 untuk membayar jumlah niai pen drive tersebut. Harga ini adalah pada tahun 2005.
Pen drive pada masa kini, dengan kapasiti 4GB, aku hanya membelinya pada harga RM30 sahaja. Sebab itulah mengapa aku amat menghargai pen drive lama aku yang hilang itu.
*****
Nak tahu siapa cinta aku? Sila klik di SINI
*****
Nota kaki:
1. Kebelakangan ini, rakan serumah aku suka sangat meminjam pen drive aku. Sampaikan suatu ketika, untuk memindahkan carita Titanic, habis semua isi kendungan pen drive aku dipadamnya. Semua jurnal projek aku juga turut hilang. Panasss...
2. Semalam, aku menggunakan pen drive aku pada laptop di rumah aku. Apabila aku menggunakannya pada laptop aku, didapati semua kerja aku dalam fail format .doc telah dijangkiti virus dan trojan. Fail .doc diserang dan ditukar menjadi fail .exe dan menyebabkan Kaspersky Internet Security aku yang hampir tamat tempoh lesennya ini memadam semua fail-fail yang dijangkiti. Aku berasa sungguh kecewa kerana semua kerja aku rosak begitu sahaja.
3. Aku terfikir untuk membeli pen drive baharu untuk kegunaan sekunder (secondary) agar kejadian yang menyayat hati ini takkan berlaku lagi.
*****
Nota kaki 2:
1. Selain benda-benda berkaitan dengan komputer, ada lagi benda-benda lain yang menjadi obses kepadaku. Tunggu dalam pos akan datang.
2. Kekasih Hazzal adalah manusia sebenar.
0 Comments
P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.
Emoji