Apa itu dialog busuk? Pasti kamu tertanya-tanya, adakah dialog ini berkaitan dengan sisa buangan organisma hidup (faham-faham sajalah ya, tak baik cakap benda kotor di sini), sampah sarap, dan lain-lain yang busuk?
Yang sebenarnya, dialog busuk ini tak berbau pun. Cuma apabila kita mendengarnya atau mengalaminya sendiri, akan menyebabkan diri kita sendiri mahupun orang lain berasa jengkel dan menyampah (MAKLUMAN: menyampah tak ada kaitan dengan sampah).
Apa itu dialog busuk? Di sini, aku nak sertakan beberapa dialog busuk yang terlintas dalam fikiran aku. Kamu juga boleh berkongsi sekali jika kamu ada dialog busuk untuk dikongsi. Tinggalkan sahaja dialog kamu itu di komen post ini.
*****
1. Lelaki: sebelum dan selepas kahwin.
- Sebelum: You tau kan, I cintakan you sampai ke hujung hayat I. Apa sahaja pintaan you, akan I penuhi walaupun terpaksa berenang di lautan api, merentas dunia, dan I akan hadapi segalanya untuk you.
- Selepas: Alah, you pergilah sendiri. I ada dinner dengan client ni! Mintak tolong Mak Cik Milah jiran kita tu. I buzylah!
2. Wanita: sebelum berkahwin dan selepas berkahwin.
[Situasi 1]
- Sebelum: Sayang, apa pun sayang nak buat, I sokong. I takkan halang selagi untuk kebaikan kita nanti.
- Selepas: Eh, kenapa balik lewat ni? You jangan nak bagi alasan sibuklah, ada meetinglah, kena outstation dengan boslah. Apa I tahu, you habis kerja 5.00 petang. Takkan lebih dari tu!
[Situasi 2]
- Sebelum: You jangan risau. I ni tak kisah kalau kita ni kaya atau tak. I tak nak bebankan you nanti.
- Selepas: Abang, apa kata kita tukar perabot kat rumah kita tu? Langsir, kusyen, meja makan, ..., kalau boleh nak rumah besar lagi... boleh kan?
3. Pekerja: sebelum bekerja dan selepas bekerja.
- Sebelum: Baik tuan, untuk saya bekerja di sini, setengah jam sebelum office buka saya dah sampai. Saya akan lakukan yang terbaik untuk syarikat.
- Selepas: (Suasana di kedai kopi) Tak apa, baru setengah jam lewat. Belum sejam lagi.
4. Pelajar: Sebelum masuk ke IPT dan selepas diterima masuk IPT.
- Sebelum: Kalau aku dapat masuk universiti, aku nak belajar bersungguh-sungguh. Tak nak main-main lagi. Aku nak dapatkan keputusan terbaik. Aku tak nak hampakan mak dan abah. Aku nak tumpu belajar sahaja. Tak nak bercintan-cintan buang masa sia-sia.
- Selepas: Alah, lambat lagi nak kena hantar assignment tu. Boleh enjoy dulu dengan kawan-kawan. Ajak awek/pakwe aku sekali enjoy pun best juga. Hidup masih muda, takkan asyik nak fikir study saja.
5. Pengikut/rakyat kepada sesuatu pemimpin: Semasa di bawah pimpinan dan selepas.
- Semasa: Bodohlah pemimpin kita ni, adakah patut dia... tak buat kerja... rugi saja buat menara tinggi-tinggi... sia-sia buat syarikat kereta... habiskan duit sahaja bina jalan raya besar-besar... jambatan tu merugikan sahaja... tak payahlah universiti banyak-banyak... cukai nak kena bayar juga ke?... dia ni munafik! Kafir! ....
- Selepas: Dia ni bagus, kenapa dia nak bersara? Dialah penyelamat bangsaku, dialah yang paling baik, dialah yang paling berani bersuara, dialah yang paling berani kritik Israel, dialah yang berjaya sedarkan PBB, dia paling berani menentang Amerika, dialah paling bijak bangunkan ekonomi negara, baguslah ada banyak jalan raya, jambatan sana sini... mudahkan orang nak membuat urusan harian... dialah Islam sejati, dialah yang berjihad sebenarnya, dialah Islam paling berani berbanding pemimpin Arab sana...
6. Pemimpin politik: Sebelum pilihan raya dan selepas pilihan raya.
- Sebelum: Tuan-tuan sekalian, saya di sini akan menuntuk semua hak tuam puan. Saya akan berikan tempat tinggal kepada rakyat miskin, saya akan berikan tanah kepada sesiapa yang layak, saya akan mempertahankan hak bangsa kita. Saya tak akan abaikan kebajikan tuan-tuan. Saya akan berikan RMxxxx bagi setiap keluarga yang memerlukan. Saya akan... bla...bla...bla....
- Selepas: Sebenarnya, tanah itu untuk... tak semua dapat... ada ke saya kata nak bagi wang? Alah... biarkanlah, bukannya penting sangat pun... alah, ibu tunggal anak satu je pun... tak bagi pun tak apa... orang tua tu kan ada ramai anak, suruh anak-anak tolong tak boleh ke? Bla...bla...bla....
7. Pemimpin politik: Dialog tentang ISA: Sebelum memerintah dan selepas memerintah.
- Sebelum: ISA ni pembunuh! Zalim! Kejam! Tak berperi kemanusiaan! ISA tak patut ada di negara kita!
- Selepas: Buat apa mereka nak tentang kita? Biarlah tanah ni kita nak beri kepada siapa pun! Tahan sahaja mereka bawah ISA! Nak pertahan hak Melayu konon!
8. Pemimpin kuasa besar: Peperangan dan senjata.
- Sebelum: Saya tak akan menyerang negara X. Saya akan berunding dengan pemimpin negara X agar melakukan apa yang sepatutnya.
- Selepas: [Laporan berita] Negara X telah diserang secara besar-besaran dalam kempen menjatuhkan pemimpin negara X kerana....
9. Pemimpin: Keamanan.
- "Saya akan memastikan kebajikan anak-anak kita akan sentiasa terjaga. Mereka akan merasakan dunia ini selamat untuk mereka duduki. Begitu juga untuk cucu-cicit kita. Saya akan pastikan dunia kita ini bebas dari keganasan. Saya akan menjadikan dunia ini lebih baik untuk kita seluruh dunia." - Pemimpin B.
- [Laporan berita] Tentera negara B telah melancarkan perang secara besar-besaran terhadap negara Z di bawah arahan pemimpin B. Serangan hari pertama telah mengorbankan 1000 orang yang 600 daripadanya adalah orang awam yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita, dan orang tua. 350 orang adalah tentera negara Z manakala selebihnya adalah korban negara B.
*****
Apa yang nak aku ketengahkan di sini bukanlah nak menunjukkan yang aku ini baik dari segalanya. Kadang kala, aku juga terlafaz dialog busuk dari mulut aku sendiri. Terutamanya dialog pelajar tersebut (tanpa baris dialog awek). Aku cuma mahu memberikan kesedaran kepada kita bahawa di kala kita mahukan kejujuran, secara tak sedar, semuanya adalah hipokrit semata-mata. Termasuklah kita sekali.
Kita haruslah sedar bahawa semua kata-kata tak semestinya jujur dan ikhlas. Kita boleh sedar dari apa yang boleh kita perhatikan. Seperti banyak dari pemimpin politik tempatan mahupun asing. Kata-kata tak akan menjajikan masa depan yang baik. Apa yang menjajikan masa depan yang baik ialah apa yang mereka lakukan untuk kita.
Begitulah juga kepada kita. Selagi kita tanamkan azam yang tinggi, namun jika tindak tanduk kita menyimpang dari azam kita, nescayalah tak ada apa yang kita peroleh. Cita-cita itu hanya sia-sia sahaja.
Ingatlah kawan-kawan, janganlah kita cakap tak serupa bikin, dan bikin tak serupa cakap. Pastikanlah kita bikin apa yang kita cakapkan.
Janganlah wangian yang kita janjikan, tetapi kentut yang kita berikan.
*****
Nota kaki:
1. Nak enjoy boleh, tetapi janganlah lupakan apa yang lebih utama.
2. Post ini juga untuk mengkritik mereka yang berkaitan. Kritikan secara menusuk dan menyiat (kada dasar: siat) hati dan daging orang tersebut. Siapa makan cabai, dia yang rasa pedasnya.
0 Comments
P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.
Emoji