Obses

MUKADIMAH: Sebelum aku memanjang cerita, silalah pastikan yang korang membaca tajuk di atas yang berbunyi 'OBSES', bukannya 'OBES'. Nak kasi senang faham lagi, obses bermaksud dengan kegilaan terhadap sesuatu manakala obes bermaksud kegemukan. Maka dengan itu, entri kali ini tak ada perkaitan langsung dengan kegemukan. Ada faham?

Aku sudah membaca sebuah entri oleh seorang kawan sefakulti aku di UMP yang berkaitan dengan kegilaannya terhadap boling. Malah, sehinggakan aku sendiri termasuk dalam komplot ceritanya yang mendakwa berjaya mempengaruhi orang lain untuk menjadi gila boling bersamanya. Malangnya, Encik Kucai (bukan nama sebenar) aku tidak terpengaruh dengan kegilaan anda, cuma sekali sekala berkongsi kegilaan bersama anda. Hahaha....

Sudah berkata tentang orang lain, kali ini aku nak membincangkan sedikit kisah obses aku terhadap sesuatu perkara. Kalau Kucai sekadar fokus kepada sukan, aku akan fokuskan dalam pelbagai perkara... mengikut apa yang aku ingat nak letak dalam entri ini.

Kalau berkata tentang gajet, akulah antara yang terpesona dengan keluaran gajet-gajet baharu. Maklumlah, dunia sudah menjadi pantas, maka segala kemudahan komunikasi harus juga pantas. Walaupun telefon bimbitku ini sudah bertaraf 3G, namun masih belum mencukupi keperluan dan kemahuan aku dalam dunia komunikasi tanpa sempadan. Jika dahulunya kegilaan terhadap jenama Nokia dan Sony Erricson, namun kegilaan aku tidak lagi ke arah jenama-tersebut sahaja. Kini, Blackberry, iPhone, Nokia N-Series, Nokia E-Series, Palm OS, dan banyak lagi jenama-jenama canggih seluruh dunia dikejar aku. Walaupun begitu, aku masih lagi terpaksa menggunakan telefon bimbit yang sedia ada walaupun sudah menghadapi masalah major disebabkan oleh kekangan wang ringgit.



Gajet terkini yang sentiasa diidami oleh setiap kaki gajet



Apa yang peliknya, banyak orang suka merujuk kepada aku apabila gajet-gajet mereka menghadapi apa-apa masalah. Ibarat aku ini tukang baiki gajetlah. Maaflah kalian, aku tak tahu nak menyelesaikan masalah korang. Apa yang aku tahu tentang gajet korang yang 24 bulan lebih maju daripada apa yang aku ada? Kalau ada yang tanya lagi, aku awal-awal surrender. Tak ada masa aku nak buat research. Subjek Thermodynamics aku lebih banyak hal kena diselesaikan.

Kalau dah gilakan gajet, pastinya aku lebih gilakan komputer. Apa sahaja jenis komputer, dari mikro komputer ke super komputer. Kebiasaannya aku lebih terdorong untuk mengusha-usha mikro komputer seperti laptop ataupun desktop. Aku memiliki laptop peribadi sejak aku di Tingkatan Lima dan laptop ini yang sudah aku miliki selama tiga tahun masih lagi cergas dan sihat wal afiat. Ramai yang kagum dengan kemampuan aku menjaga laptop aku begitu baik dan lebih baik daripada aku menjaga kekasih sendiri. Haha.... Memang benar, aku menjaga laptop ini begitu baik sekali. Jarang sekali ia mengalami kerosakan ataupun kegagalan fungsi. Malah, kawan-kawanku yang mempunyai laptop yang masih kurang enam bulan usianya sejak keluar dari kilang sudah mengalami masalah major.

Korang mahu tips untuk menjaga laptop ataupun komputer dengan baik? Caranya mudah. Jangan masuk ke laman-laman web yang berisiko tinggi dan tak berfaedah juga tak bermoral, jangan sumbat terlalu banyak perisian (software) walaupun aku pernah gila untuk install pelbagai perisian, pastikan pengudaraan dalam bilik sentiasa baik untuk menjaga kehangatan laptop, rajin-rajin buat housekeeping dengan melakukan degragment, virus scan, membaiki registry, dan melakukan disk cleaning sekurang-kurangnya sebulan sekali. Namun begitu, jangan terlalu kerap, nanti lagi cepat rosak hard disk laptop korang. Yang pasti ialah, masa yang aku luangkan bersama laptop aku lebih banyak berbanding aku meluangkan masa dengan kawan-kawan perempuan aku [TIPS: jangan jadi playboy atau playgirl].



Komputer dan aku tak boleh dipisahkan



Ini lagi satu penyakit yang kawan-kawan aku terima berkenaan dengan komputer. Kalau ada apa-apa sahaja berkaitan komputer, pasti mereka bertanya kepadaku. Malah, pernah di antara mereka bertanya kepadaku bagaimana nak buat programming menggunakan Java. Manalah aku belajar nak programming menggunakan Java. Ada pula, setiap kali masalah besar atau kecil, pasti bertanyakan aku sehinggakan nak mencari maklumat tentang printer di internet pun nak tanya aku. Aduhai... aku ini kaunter pertanyaankah? Atau mereka yang malas berusaha? Begitu juga masalah hardware. Ada yang siap hantar kepadaku minta tolong baiki hardware yang rosak. Kalau aku yang baiki, dengan aku sekali rosak rasanya. Secara jujur, aku cuma tahu hal-hal yang berkaitan dengan multimedia sahaja. Itupun sekadar menggunakan perisian Microsoft PowerPoint untuk mengeluarkan hasil seperti Flash animation, mengedit video dan sedikit kemahiran mengedit lagu. Yang lain-lain seperti menggunakan perisian Flash Pro, Dreamweaver, Sony Sound Forge, dan lain-lain adalah di luar pengetahuan aku.

Kali ini, kita pergi ke obses yang lebih hebat, iaitu kereta dan motosikal. Aku gemarkan kereta sport, dan luxury car serta motosikal kategori superbike dan cruisers. Kebiasaannya, banyak kawan-kawan aku yang sibuk memikirkan bagaimana untuk menjimatkan minyak semasa memandu atau menunggang motosikal tetapi aku lebih gilakan kuasanya. Kalau dah gilakan kuasanya, masalah minyak aku letak tepi. Tambahan pula aku telah pergi ke Litar Antarabangsa Sepang untuk menonton MotoGP dan aku terpesona dengan... bukan gadis litarnya, tetapi motosikal-motosikal superbike dan cruisers yang dipamerkan di sana. Gadis litar aku tak pandang pun. Padan muka mereka.



Lotus Elise - gaya yang menawan



Berikut adalah antara jenama-jenama yang pernah aku impikan sejak aku mengenal permainan komputer Need 4 Speed II:
(kereta)
- McLaren
- Mercedez-Benz
- Ferrari
- Lotus
- Ford
- Jaguar

(motosikal)
- Suzuki
- Honda
- Aprilia
- Ducati
- MV-Agusta

Namun begitu, aku tetap bersyukur memiliki sebuah Honda, iaitu Honda Wave 125S. Bolehlah kata aku ada sebuah Honda walaupun hanya sekadar motosikal kapasiti kecil.

Kali ini, hal sukan pula. Obses aku terhadap sukan tak pernah padam sejak kecil lagi. Sukan yang paling aku gilakan ialah bola sepak. Sukan nombor 1 di dunia. Kegilaan aku bukanlah bermula dari dorongan orang tua aku, tetapi oleh permainan komputer FIFA'95. Inilah kali pertama aku mula menggilakan permainan bola sepak. Kegilaan pada permainan komputer aku terjemahkan kepada permainan aku di atas padang serta kesanggupan aku berjaga malam dan mencari segenap kedai makan yang ada menayangkan siaran langsung perlawanan bola sepak pasukan kegemaran aku.

Pasukan kegemaran aku yang paling pasti adalah pasukan Malaysia (walaupun selalu juga aku kritik kerana permainan mereka - aku kritik kerana aku sayangkan pasukan), Perak (sayangnya pasukan ni ada masalah kewangan teruk dan mungkin tak layak untuk bermain di Liga Super 2010. Tukarlah pemimpin persatuan ni!), Manchester United (aku mula memilih Manchester United setelah menang kepada Liverpool dalam sebuah perlawanan pada tahun 1997 - kalau Liverpool menang, mungkin aku kini penyokong Liverpool. Aku juga peminat setia David Beckham dan Ole Gunnar Solskjær), serta pasukan England (aku sangat kecewa apabila England tewas di separuh akhir kepada Brazil pada Piala Dunia 2002).

Jika di dalam padang, hampir semua posisi aku pernah main. Posisi yang paling baik bagi aku ialah posisi pertahanan (bek) ataupun penjaga gol manakala posisi aku paling teruk ialah penyerang (semua variasi posisi penyerang). Kemahiran aku bukanlah menjaringkan gol ataupun membuat rembatan tepat ke gol tetapi hantaran aku boleh tahan jugalah. Kebanyakan gol-gol aku adalah gol nasib dan bukan disebabkan kehebatan aku merembat bola. Peringkat tertinggi aku pernah main adalah di peringkat kebangsaan yang pernah dianjur oleh sebuah syarikat swasta terkenal. Dalam setiap kejohanan, peringkat tertinggi pernah aku sampai ialah peringkat separuh akhir.



Manchester United tetap juara



Walaupun aku gilakan bola sepak, aku tetap pernah mewakili negeri dalam sukan bola baling dan boling; wakil daerah dalam olahraga trek dan merentas desa; dan pernah mewakili sekolah dalam sukan golf dan ragbi.

Bola sepak adalah hidup aku. Takkan sempurna tanpa bola sepak. Untuk sukan-sukan lain, nampaknya boling yang masih bertahan sebagai antara sukan yang aku gemari. Kebanyakan sukan lain sudah ataupun hampir terkubur.

Kepada korang yang masih terkial-kial tak tahu ke mana arah hidup korang, aku ada sesuatu nak diperkatakan; carilah sesuatu yang boleh korang gilakan, mungkin suatu hari nanti akan membawa korang kepada kejayaan dalam hidup. Jadi, tak salah berangan tetapi usahalah untuk mencapai angan-angan tersebut. Sia-sia angan-angan tanpa usaha.

Post a Comment

0 Comments