Hidup seperti sup tulang

Tulang. Ada apa pada tulang? Kalau kita dapat tulang, pastinya kita takkan rasa puas hati kerana mendapat isi yang sedikit sahaja. Namun, apakan daya. Kita belum tentu dapat memperoleh semua isi yang ada. Kalau dapat tulangnya pun sudah memadailah kerana tulang kalau buat sup, sedap juga.

Macam mana pula dalam hidup? Kalau nak diikutkan, semuanya kita mahu. Kesenangan, kemewahan, kemudahan, kemahsyuran, kekuasaan dan lain-lain. Namun begitu, bukan semuanya boleh kita peroleh. Kita cuma mampu peroleh beberapa perkara sahaja dalam hidup.

Setiap hari, aku sering sahaja terfikir kalau aku jadi itu, apa akan jadi. Kalau jadi ini, apa akan aku lakukan. Kalau begitu, apa yang pasti akan aku usahakan. Namun, kalau difikirkan semula, aku tak mampu jadi kesemuanya. Aku hanya mampu menjadi penyokong atau pembantu kepada orang lain sahaja agar mungkin apa yang aku citakan menjadi kenyataan.

Kata orang, kalau mahu berjaya, pemikiran kita mestilah kreatif. Perlu pandai ambil peluang yang ada. Kalau mampu, ambil kesempatan yang ada. Bagi aku, kata-kata itu ada benarnya. Kalau kita berdoa berderet-deret pun, kalau tak berusaha, habuk pun tak akan kita dapat.

Benarlah kata-kata ini, "man jada wa jada wa manzaro'a hasoda" yang bermaksud jika kita berusaha, kita akan dapat hasilnya.

Namun begitu, tak semua usaha yang kita lakukan akan mendapat hasil yang banyak. Ada kalanya, hasilnya hanyalah sedikit berbanding usaha kita yang besar. Namun begitu, bagi sesetengah orang besar atau kecil hasilnya tidak penting. Apa yang penting adalah kepuasan dalam usahanya. Mungkin itu juga boleh dikategorikan mereka iklas dalam usaha mereka. Wallahualam.

Suka aku analogikan dengan sup tulang. Siapa yang pernah makan sup tulang, pasti mereka akan rasa kesedapannya. Kepada yang belum, cubalah try. Gerenti puas hati!



Bak dialog P. Ramlee, "untung kau kahwin dengan aku, dapat makan nasi. Tengok orang sebelah, makan tulang buat sup."



Ibarat untuk membuat sup tulang, kita haruslah berusaha dari awalnya iaitu menumbangkan seekor lembu. Haa... kalau yang pernah melihat suasana menumbangkan seekor lembu, pastinya mereka akan rasai kesukarannya. Ada kala lembu mengamuk, ada kala lembu terlepas, ada kalanya lembu ni keras kepala. Betapa susahnya nak tenangkan lembu yang seekor itu. Ini baru seekor, belum lagi kalau berekor-ekor lembu yang perlu ditumbangkan. Lagi banyklah usaha yang perlu dikerah.

Semasa penyembelihan, kena hati-hati. Jangan sampai tak sah pula penyembelihan tu. Kalau tak sah, rugilah. Seekor lembu harganya... erm... entahlah, aku pun tak tahu. Haha... kalau ikut teori aku, semangkuk sup RM4.00. Kalau seekor lembu boleh buat lebih 1000 mangkuk, ha... kiralah sendiri!

Selesai sembelih kenalah tunggu lembu mati betul-betul. Adalah pula kalau lembu tu mati menggelepar, yang memegangnya pula terlepas dari genggaman. Satu lagi kesusahan. Kalaulah lembu tu bangkit semula, boleh pula lari 1 km dengan kepala terputus... lagilah banyak dugaannya.

Dah mati, barulah kena lapah dagingnya. Dalam kerja melapah ni, bukan kerja senang juga. Silap-silap ada yang terlapah daging sendiri. Maklumlah, pisau kan tajam sangat. Kemalangan boleh berlaku.

Selesai melapah, nak dapatkan tulang pun bukannya mudah. Ada orang tak kisah dapat isi banyak, asalkan dapat yang tulangnya. Ataupun dapat ekornya. Kuantitinya terhad, kenalah berebut dengan orang lain.

Bila sudah dapat, bukan boleh makan begitu sahaja. Kena buat sup. Yang dah pandai, rasanya tak ada masalah pun. Bagi yang baru jejak kaki ke dapur, periuk terpelanting, tak jumpa halia... macam-macam lagilah kesnya.

Akhirnya, setelah usaha gigih dari awal, barulah dapat nikmati sup tulang yang begitu sedap sekali.

Begitulah dalam hidup, hasilnya mungkin sedikit, usahanya mungkin besar. Namun begitu, nikmat hasil usaha itulah yang dapat memuaskan hati kita.

Malangnya, tak semua begitu. Ada yang usahanya sedikit, tetapi mahu hasil sebesar gunung. Ada juga yang tak nak berusaha langsung. Dah dapat hasil pun, tak bersyukur. Inilah manusia. Sentiasa mahukan yang lebih sedangkan usahanya sentiasa mahukan paling sedikit.

Apa boleh buat. Kalau kita rasa kita patut buat yang sepatutnya, buatlah. Kalau rasa tak patut, jangan buat. Diam adalah lebih baik. Taklah menyusahkan orang.

Post a Comment

0 Comments