Atuk Polis: Kini Hanya Dalam Ingatan

Al-Fatihah kepada atuk yang telah pergi menghadap Ilahi pada 7 Oktober lalu ketika berumur 85 tahun 10 bulan 25 hari akibat sakit tua dan menderita akibat tidak boleh berjalan sejak 4 tahun lalu selepas kemalangan kecil menimpanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.

*****

Aku menerima panggilan telefon dari papa pada jam 10.30 pagi, 7 Oktober dan diberi tahu bahawa atuk sudah tenat. Rancangan pertama adalah untuk pulang ke kampung di Perak pada esok harinya.

Pada kira-kira 11.30 pagi dalam kelas Heat Transfer, aku sekali lagi menerima panggilan telefon dan papa memberi tahu bahawa dia mahu pulang sekarang. Aku dengan segeranya terus keluar dari dewan kuliah menuju ke asrama untuk bersiap pulang.

Aku bergegas pulang ke rumah sementara keluarga aku menunggu di rumah. Dengan kelajuan motosikal yang aku tunggang agak melebihi halaju jalan raya, aku berharap dapat sampai awal ke rumah. Setelah tiba di rumah, barulah aku tahu bahawa atuk sudah tiada - pada 11.50 pagi - ketika aku masih lagi dalam perjalanan pulang ke rumah.

Dalam hati mahu sahaja aku memecut laju pulang ke kampung, tetapi aku hanya mampu mengikut halaju maksimum sahaja. Kami sekeluarga hanya tiba di kampung pada jam 7.30 malam. Kami tak sempat bertemu dengan atuk walaupun dirinya hanya tinggal jasad.

*****

Setelah membuat tahlil tiga hari berturut-turut, aku dan keluarga pulang pada hari keempat. Sebelum pulang, aku hanya sempat menjenguk pusara atuk.






Selamat jalan atuk. Semoga atuk tenang di sana.

*****


Kini, yang tinggal adalah 9 adik beradik papa - setelah pemergian arwah Mak Teh pada 12 tahun yang lalu. Semoga hubungan keluarga masih lagi utuh seperti sedia kala.

Berdiri dari kiri: Uncle Nae, Pak Uda, Paksu; Duduk dari kiri: Acik Zan, Mak Yong, Pak Ngah, Papa, Pak Long. Pak Tam tiada dalam gambar. 
*****

Banyak kematian berlaku hampir denganku. Sebelum ini, beberapa rakan-rakan aku telah pergi menghadap Ilahi dan diikuti dengan atuk. Setelah pulang dari kampung, anak kucing di rumah aku juga mati mengejut. Mungkin ini adalah ingatanNya kepada aku untuk mengingatiNya.

*****

Dalam ingatan:
1. Atuk polis: Abdul Manan bin Mahadi
2. Mak Teh: Salmah binti Abdul Manan

Post a Comment

0 Comments