"Kalaulah aku yang usahakan dari awal, mungkin aku dah berjaya."
"Kalaulah aku tak sakitkan hatinya, pasti kami dah hidup bahagia."
"Kalaulah aku ikut cakapnya, pasti adik takkan tinggalkan kita selama-lamanya."
"Kalaulah aku tak pentingkan diri, dia takkan tinggalkan aku."
"Kalaulah...."
Dalam hidup kita seharian, berapa kalikah kita ungkapkan perkataan 'kalaulah'? Cuba kita renungkan kembali, sejak bangun dari tidur sehinggalah sekarang, berapa kali kita ungkapkan perkataan ini? Sekali? Dua kali? Tak pasti? Sehingga aku menulis ayat ini, aku pun tak pasti sudah berapa kali aku ungkapkan perkataan ini pada hari ini. Walaupun hanya bermonolog dalaman, tetapi perkataan ini tetap juga datang dari diri kita sendiri.
Mengapa wujudnya perkataan 'kalaulah' ini? Tak bolehkah dalam perkataan yang kita ungkap mahupun terdetik dalam hati tiada perkataan kalaulah.
Bagi aku, adanya perkataan ini dalam setiap ayat yang kita ungkapkan itu tidak salah kerana perkataan ini memberikan banyak makna dalam setiap ayat kita. Sedar atau tidak, perkataan ini jugalah boleh menentukan perjalanan hidup kita pada masa depan. Namun begitu, ini bergantung juga dengan bagaimana kita menggunakan perkataan 'kalaulah' ini.
Perkataan ini ada kalanya bermakna terdetik sedikit penyesalan dalam hidup kita. Hal ini bagus untuk kita. Sekurang-kurangnya kita dapat merasai penyesalan dalam apa yang kita buat sebelum ini. Mungkin kita pernah melakukan kesalahan, tetapi pasti pada suatu masa, kita akan terfikirkan semula apa tindakan kita dan memulakan ayat kita dengan 'kalaulah'. Detik inilah yang paling bermakna dalam hidup manusia apabila dapat menyesali kesalahan dalam diri.
Malangnya, penyesalan ini mungkin sudah terlambat bagi sesetengah orang. Untuk kes sebegini, perkataan 'kalaulah' tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk mengubah keadaan. Namun begitu, walaupun tidak boleh membaiki keadaan yang berlaku, sekurang-kurangnya perkataan ini boleh memberikan kita peluang untuk merawat keadaan yang pasti rumit kepada diri kita.
Walaupun perkataan 'kalaulah' ini banyak dilihat dalam konteks penyesalan, tetapi perkataan ini juga boleh dilihat dari konteks peringatan. Ini boleh berlaku sekiranya kita memikirkan kesan tindak tanduk kita sebelum kita melakukannya. Dengan memulakan dengan perkataan 'kalaulah', pasti kita akan dapat membuat keputusan yang terbaik dalam diri kita. Namun begitu, sekiranya keputusan yang dipilih itu tetap tidak baik, sekurang-kurangnya kita tidak akan berasa terlalu menyesal dengan apa yang telah kita lakukan.
Mungkin apa yang aku nyatakan di dalam entri ini tidaklah dikembangkan secara menyeluruh, tetapi suka untuk aku bawakan idea ini kepada sesiapa yang membaca entri ini untuk bersama-sama memikirkan hal ini untuk diri kita. Marilah kita sama-sama menghayati puisi ini:
Kalaulah Kalau
oleh: Puteh Hashim
Kalaulah aku pohon merimbun
akan kupayungi insan kerdil
dari panas, hujan dan embun
Kalaulah aku pohon berbuah lebat
akan kugugurkan buah manis dan lazat
untuk insan kerdil yang memang berhajat
Kalaulah aku air mengalir tiada putusnya
akan kubiarkan insan kerdil kehausan
meneguk daku sepuas-puasanya
dan
kalaulah aku hailintar ganas
akan kulibas semua insan
kejam yang selama ini menindas
agar hancur berkecai ditelan bumi
Alangkah bahagianya kehidupan
kalau semuanya saling bergandingan
tiada penindasan
tiada pertelingkahan
tiada penipuan
Kalaulah keamanan dan keadilan
dapat ditegakkan
nescaya bersinarlah cahaya kedamaian
Puteh Hashim
Kajang, 1 Mac 1998
Biarlah kita mulakan hidup kita dengan 'kalaulah', daripada hidup kita berakhir dengan 'kalaulah'.
"Kalaulah aku bekerja nanti, bolehlah aku hadiahkan anak aku baju baharu."
"Kalaulah aku melawat nenek esok, pasti nenek akan gembira."
"Kalaulah aku pergi ke pejabat itu nanti, pasti aku akan berjaya mendapatkan kontrak itu."
"Kalaulah aku dapat membantu kawan-kawanku, pasti dapat aku pergi lepak dengan mereka di Starbuck nanti."
"Kalaulah...."
3 Comments
hahahaha... 2 la pasal.. aku pun slalu sebot kalau... especially lps exam... wuwuwu T_T
ReplyDeletekalau tak kata kalau...nak kata apa ye...
ReplyDeletehehe...yana pn selalu sebut...
ReplyDeletemcm dh sebati...
kalaulah....
P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.
Emoji