PROKKIPT II 2010


PROKKIPT II 2010 atau dengan nama panjangnya ialah Program Kembara Kepimpinan IPT Pelajar siri 2 2010 telah diadakan bermula dari 2 - 14 Disember 2010 yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Program ini pada dasarnya untuk memberikan pendedahan kepada pemimpin-pemimpin muda yang masih lagi berstatus mahasiswa di IPT-IPT seluruh Malaysia dengan perkembangan sosio budaya masyarakat di negeri Sarawak. Walaupun secara literalnya, program ini dilihat seperti 'melancong sambil belajar', namun secara naratifnya, program ini banyak memberikan kesedaran mahupun secara langsung atau tidak terhadap kepentingan mahasiswa pada masa kini untuk membantu dalam membangunkan sosio budaya di Malaysia.

Ini baru mukadimahnya, aku pula adalah salah seorang yang telah menyertai program ini secara ad hoc bersama Farhan, seorang lagi wakil dari Universiti Malaysia Pahang (UMP). Pada dasarnya, kedua-dua kami mempunyai komitmen lain seperti aku masih lagi menyertai sebuah conference di Kuala Lumpur manakala Farhan pula sepatutnya akan bertolak ke Kemboja pada 12 Disember. Namun, atas rasa tanggungjawab untuk menjadi wakil dari UMP, kami menyertai program ini. Ini adalah alasan secara 'profesional' yang aku nyatakan, tetapi secara peribadinya aku pergi kerana mahu mengenali siapa diri aku dengan lebih dekat. Hampir keseluruhan hidup aku, tertumpu kepada Semenanjung Malaysia sahaja. Dengan adanya program ini, aku mengambil kesempatan yang ada untuk menyelami hidup sebagai keturunan pemburu kepala.

Menjejak kaki di Bumi Kenyalang bukanlah suatu yang janggal bagi aku. Boleh dikatakan hampir tiap tahun aku menjejakinya. Malah, bandaraya Kuching, pekan Bau dan kawasan berdekatan adalah lokasi yang selalu aku singgah setiap kali aku ke Sarawak. Namun, bezanya kini adalah misi aku ke Sarawak adalah berbeza dengan yang sebelum ini. Namun, kali ini ada sesuatu yang baru bagi aku iaitu menjejaki UNIMAS buat kali pertama. Tambahan untuk itu, aku juga dikelilingi oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa yang hebat-hebat belaka.

Hari 1: Salam Satu Malaysia.
Aktiviti pertama yang biasa dilakukan adalah pelancaran program, sedikit ceramah dan ice breaking. Walaupun aktiviti ini biasa bagi aku, tetapi tak mengapa. Tak kenal maka tak cinta. Namun, apa yang menarik perhatian aku pada hari pertama ini adalah ketika pelantikan penghulu. Aku telah dicalonkan oleh Hana, pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar dari UKM untuk menjadi calon penghulu. Entah apa yang dilihatnya pada aku, aku pun tak tahu. Namun, dalam pemilihan penghulu, aku tewas dengan beza undi yang tidak banyak - kata kawan-kawan akulah. Tahniah kepada Robert Jeno, anak Sarawak dari suku kaum Punan. Pada ketika itu juga, aku diletakkan dalam kumpulan 4, yang dinamakan sebagai Lambir dan Hafiz dilantik sebagai 'ketua tunjuk'.


Hari 2: Celik Kenyalang.
Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bukanlah suatu tempat yang asing bagi aku. Aku pernah sampai di sana, cuma aku belum lagi pernah masuk ke dalam bangunannya. Kali ini, aku dan peserta lain dibawa melawat ke Kompleks DUN Sarawak dan diberikan beberapa taklimat tentang sistem pentadbiran di Sarawak serta pembangunan negeri. Selain itu juga, kami dikenalkan lagi dengan adat istiadat masyarakat Bumi Kenyalang. Ini adalah bangunan DUN kedua yang pernah aku masuki selepas bangunan DUN Negeri Pahang ketika bertemu dengan Menteri Besar Pahang.

Aktiviti Kembara Budaya juga memberikan sedikit tambahan pengalaman ketika aku ke Kampung Budaya. Walaupun sudah berkali-kali aku ke sana, namun kali ini aku lebih fokus dengan misi-misi di sana iaitu menyelesaikan setiap tugasan di setiap checkpoint yang ditetapkan. Walau apa pun tugasan yang diberikan, aku lihat di sini adalah bagaimana kita menyokong setiap ahli dalam kumpulan kita untuk sentiasa sama pantas, sama perlahan dengan kita. Yang di hadapan tidak kita lepaskan, yang di belakang tidak kita tinggalkan. Walaupun beberapa kali sesat, namun kumpulan Lambir berjaya menghabiskan misi di tempat ke-2.

Hari 3: Kembara Diri.
Aktiviti lasak adalah antara kegemaran aku dan pada hari ketiga inilah kami dibawa ke Gua Fairy. Antara aktiviti yang aku lalui ialah melakukan rock climbing yang aku hanya mampu panjat 3/4 dari tinggi puncak, abseiling dan repelling dari ketinggian 60 meter ataupun 150 kaki dan ini adalah yang tertinggi setakat yang pernah aku lakukan dan memasuki gua. Aktiviti yang paling menarik adalah memasak secara beramai-ramai. Di sini jugalah dilantik beberapa ahli kumpulan lambir sebagai jurukamera, pengawal api dan sebagainya. Aktiviti bersambung hingga ke hari keesokannya.

Meletakkan diri dalam risiko bukanlah sesuatu yang biasa orang lakukan. Ada mungkin risikonya kita akan jatuh dari ketinggian 60 meter, apa mungkin kita akan jatuh dan terhayun ketika mendaki tebing dan apa mungkin kita akan ditinggalkan sendirian dalam gua yang tiada cahaya untuk menyuluh perjalanan kita. Risiko seperti ini juga berlaku dalam hidup kita, namun kita juga haruslah bersedia dengan segala risiko dan kita mesti berani untuk mempercayai talian nyawa yang kita ada iaitu tali dan lampu yang kita ada untuk membawa kita ke destinasi yang kita mahukan.


Hari 4: Back 2 Nature.
Mengenali sesebuah kaum itu adalah sesuatu yang dituntut oleh setiap manusia. Ini akan memberikan kita kefahaman yang lebih agar kita bersyukur dengan apa yang kita ada. Inilah aktiviti yang dijalankan pada malamnya. Tugas yang diberikan adalah menyenaraikan sosio budaya masyarakat Iban dan Penan. Agak mudah bagi kaum Iban kerana ada dua ahli kumpulan aku berbangsa Iban, tetapi untuk Penan, kamu Google sahaja. Apa pun, kami lebih mengenali antara satu sama lain dan ini mendekatkan lagi diri kami dengan semua peserta.

Hari 5: Kampung Kamek.
Kali ini di Sri Aman, sebuah bahagian di negeri Sarawak yang bersaiz kecil sedikit dari Negeri Sembilan ini menyimpan banyak khazanah dan sejarah negara. Tempat yang sebelum ini dinamakan sebagai Simanggang merupakan tempat Komunis menyerah dan menanda tangani perjanjian keamanan. Salah sebuah keunikan yang ada di Sri Aman adalah fenomena benak atau dalam bahasa Inggerisnya ialah tidal bore merupakan mercu tanda Sri Aman. Malangnya aku dan semua peserta terlepas untuk menyaksikannya secara langsung fenomena ini. Apa pun, aku akan kembali suatu masa nanti untuk menyaksikan fenomena ini sekali lagi. Sekembalinya aku ke sana, aku akan membawa banyak idea pembangunan fizikal dan ekonomi untuk bahagian Sri Aman.

Di daerah ini juga, aku menerima keluarga angkat pertama di Sarawak.

Keluarga angkat di Sri Aman.


Hari 6: Menuai Kapit.
Tiga jam dalam bot ekspres tidak mematahkan semangat kami untuk terus mengembara. Bahagian Kapit yang hanya boleh dihubungi dengan jalan sungai tidak mempunyai perhubungan darat dengan bahagian terdekat. Namun, menurut Residen bahagian Kapit, jalan raya yang dinantikan akan mula dibina dalam masa terdekat ini dan pastinya akan mengubah landskap dan populasi di bahagian yang hampir sama keluasannya dengan negeri Pahang ini. Kesukaran untuk membangunkan bahagian ini terserlah kerana jumlah penduduk di bahangian ini hanyalah 100 ribu orang sahaja berbanding di negeri Pahang yang mempunyai 1.5 juta penduduk. Namun begitu, aku melihat potensi yang bahagian ini boleh menjadi pusat eco-tourism dan juga menjadikan sukan bermotor ekstrim seperti perlumbaan rali dan endurance equistrian.

Di samping mengetahui perkembangan bahagian Kapit, aku telah mempelajari tentang budaya orang Iban apabila mengunjungi Rumah Panjai Ukan. Di sini jugalah aku mendapat keluarga angkat kedua.



Keluarga angkat di Kapit.
Hari 7: Menua Iban.
Hari terakhir di Rumah Panjai Ukan menyaksikan banyak aksi-aksi orang bandar terkedek-kedek menjala ikan, mencari pucuk paku dan mencari hasil hutan. Agak melucukan apabila anggota kumpulan aku yang 'berlagak' dalam sukan menyumpit, tidak mendapat satu habuk pun. Kami meninggalkan Kapit dengan sejuta kenangan. Aku akan kembali ke Kapit suatu hari nanti.

Hari 8: Jelajah Borneo
Perjalanan dari Sibu ke Miri memberikan cabaran hebat kepada kami iaitu menebalkan lemak punggung untuk berjam-jam lamanya. Namun begitu, persinggahan di Kompleks LNG Bintulu sangat menggembirakan aku apabila dapat mengambil peluang untuk mengetahui lebih mendalam tentang industri LNG di Malaysia. Persinggahan selama sejam setengah disambung ke Miri dan kami menetap di Kampung Sukan Petronas.

Hari 9: Sahabat Baru.
Destinasi pertama adalah di Rumah Panjai Robert, iaitu rumah panjang yang diduduki masyarakat Iban. Kebetulan mereka masih berkabung atas kematian salah seorang ahli keluarga yang tinggal di sana, maka kami lebih berhati-hati agar dapat menjaga hati masyarakat di sana. Seterusnya, kami menuju ke perkampungan Penan atau dikenali sebagai Rumah Ogus. Di sini, aku menerima satu lagi keluarga angkat. Apa yang menariknya di sini adalah kebanyakan penduduk di kampung ini memperoleh pendapatan bulanan yang lebih lumayan berbanding orang bandar dari hasil kelapa sawit yang mereka usahakan. Namun begitu, kesederhanaan mereka terpancar dengan sentiasa menjaga adat masing-masing dan tidak terlalu bermegahan.

Keluarga angkat di Miri.

Hari 10: Utara ke Selatan.
Perjalanan Miri ke Kuching yang sepatutnya mengambil masa kira-kira 14-16 jam tergendala di Sibu akibat kerosakan teknikal kepada salah sebuah bas kami. Akibatnya, kami terpaksa bermalam di Sibu. Dalam kesempatan ini jugalah kami merayau-rayau di Sibu dan mengenali sibu lebih mendalam.



Hari 11: Ngabas Sempadan.
Walaupun tidak ke sempadan, namun kami sempat ke Pasar Satok dan Waterfront Kuching untuk membeli beberapa buah tangan untuk kembali ke semenanjung. Walaupun tidak banyak yang aku beli, namun cukuplah untuk aku kerana aku akan kembali ke Sarawak lagi.

Hari 12: Celik Kenyalang.
Hari-hari terakhir di Sarawak dilakukan dengan aktiviti kembara UNIMAS iaitu aktiviti ala-explorace sekeliling UNIMAS. Sungguh memenatkan. Selepas taklimat UNIMAS, aku berharap agar UNIMAS dapat memainkan peranan besar dalam pembangunan industri pembuatan dan sumber kuasa di Sarawak agar dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi di Sarawak. Makan malam kami adalah antara yang bermakna apabila diadakan di sebuah perkampungan masyarakat Melayu di Santubong.

Hari 13: Sayonara.
Aku dan peserta dari semenanjung serta Sabah pulang ke tempat masing-masing. Kembara aku masih tidak berakhir di sini. Aku tersadai selama tujuh jam di LCCT dan hanya tiba di UMP selepas 12 jam aku tiba di LCCT.



Hari 14: Pulang ke rumah.
Pada hari ke-14 barulah aku dapat menjejakkan kaki di rumah. Penat, namun banyak pengalaman aku bawa pulang untuk diri aku dan pastinya untuk masa depan.

Kembara ini bukanlah aku lihat dari segi kepimpinan semata-mata, tetapi kembara ini aku teroka untuk mengenali siapa diri aku dengan lebih mendalam. Walaupun kembara kali ini tidak menyinggah di tempat orang Bidayuh, namun aku gembira apabila dapat mengenali beberapa rakan yang berbangsa Bidayuh. Mungkin aku akan terus menghubungi mereka untuk mengenali lebih mendalam tentang keturunan aku - si pemenggal kepala.

Post a Comment

3 Comments

  1. syam.. aku suke la report ko ni.. ley tros anta ke KPT ni hihi~ miss all d moment

    ;ayum (unimas..)

    ReplyDelete
  2. @Tukang Tulis
    like!!!!!!

    @ayum
    thanks...sebenarnye nak tulis panjang lagi, tapi nanti jadi mcm karangan SPM la pulak...hehehe

    ReplyDelete

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.

Emoji
(y)
:)
:(
hihi
:-)
:D
=D
:-d
;(
;-(
@-)
:P
:o
:>)
(o)
:p
(p)
:-s
(m)
8-)
:-t
:-b
b-(
:-#
=p~
x-)
(k)