Prelude
Teka-teki: "Apakah persamaan antara gajah dan kelapa sawit?"
Jawapan: Kedua-duanya tidak boleh menunggang basikal.
Ya, satu jawapan yang tepat dari segi fakta dan semantik. Tapi kualiti idea itu terlalu sumbel. Ia tidak memberi apa-apa nilai yang konkrit. Sebab pola jawapan itu boleh ditukarganti dengan mudah, oleh ratusan pilihan lain. Infiniti.
Misalnya:
Kedua-duanya tidak boleh ________ (menunggang, membaca, memasak, mengetam, membasuh, mengemas, etc) _______ (basikal, buku, nasi, kayu, spender, rumah, etc).
Tujuan kita ke universiti adalah untuk belajar berfikir secara bebas, lagi kritis. Belajar memberi idea yang unik dan novel. Bukan melontar apa-apa saja, asalkan ada.
i
Tidak semena-mena, frasa
'kebebasan akademik' menjadi begitu trendi. Orang yang dulu dungu macam
katak pun, tiba-tiba begitu ghairah melambung-lambung istilah ini.
Sofistikated-lah konon.Seperti remaja akil baligh yang baru mau belajar mencarut. Dengan gaya yang sangat kebaruan. Sampai kadang-kadang kopi tumpah pun, dia butuh atau pundek-kan. Padahal, kopi mana ada genitalia, kan?
Biasalah. 'Jumping on the bandwagon' adalah kemahiran asasi penduduk Malaysia. Sejak zaman Pak Pandir dan Tok Kaduk lagi. Terutama sekali (dengan apologi) yang sebangsa dengan dua tokoh terbilang itu.
ii
Ya, kebebasan akademik itu penting
demi integriti institusi pendidikan tinggi. Serta kelestarian intelek
dan sahsiah: para graduan yang dilahirkan, serta para sarjana yang
melahirkan mereka.Tapi persoalannya: kebebasan akademik itu apa? Bagaimana ceraian komponen subsidiarinya? Di mana pula tunjang terasnya?
Institusi, sistem, pentadbir, sarjana dan siswa: itu semua elemen penting yang relevan dengan 'kebebasan akademik'. Tapi unit komponen paling perdana yang menjamin agar kebebasan itu benar-benar bermakna ialah: individu.
iii
Siapa individu itu? Para sarjana dan golongan mahasiswa. Inilah terasnya. Perubahan dan anjakan paradigma harus bermula di sini. Sebelum mahu galak mengubah sistem dan institusi.
Seperti ikan sakit dalam akuarium terbiar. Rawatlah dulu ikannya, sebelum membersihkan akuarium yang berdebu. Kerana mudharat penyakit ikan itu lebih berbahaya daripada debu akuarium.
iv
Kebebasan akademik para mahasiswa terletak pada cara berfikir. Kerana
minda dan idea adalah dua komoditi terpenting dalam industri menara
gading. Saya tau, ada yang mencebik: bukankah kekangan persekitaran dan sistem juga boleh mempengaruhi perkembangan 'kebebasan' tersebut? Ya, saya setuju. Ada pengaruhnya.
Tapi sistem dan persekitaran itu tidak sehingga merencat. Kerana ia hanya faktor subsidiari. Terasnya adalah 'individu'. Bahkan, kalau pintar: kekangan sistem boleh menjadikan 'kebebasan' itu tambah mencapah dan kreatif. Kerana halangan adalah mangkin yang mujarab untuk melonjak.
Siapa kata? Tanyalah ribuan graduan yang menempuh sistem yang sama, tapi masih mampu menjadi idealis dan pemikir.
Tidak perlu berbaring atas jalanraya, ok.
v
Kenapa perlu berfikir untuk menyelesaikan masalah dunia atau negara?
Itu boleh dibuat selepas dapat ijazah, kerana pada ketika itu akses kita
kepada decision-making akan lebih terbuka luas. Dan suara kita juga
menjadi lebih autoritatif.Ya, semasa jadi aktivis siswa dulu: saya juga terlibat dengan sangat banyak aktiviti sosio-masyarakat, dari peringkat varsiti, nasional sampai antarabangsa. Untuk lebih tepat, 163 projek sepanjang 6 tahun di UM, dari Asasi Sains sampai tamat fakulti. Tapi saya bukan menyertainya untuk mengubah dunia, negara atau sistem. Saya hanya mahu mengubah diri sendiri.
Supaya hasil anjakan perspektif itu boleh membuat saya lebih bersedia dengan dunia realiti. Kelak dapat berfungsi dengan (lebih baik?) dalam komuniti.
vi
Ini nasihat saya.Berjuanglah dalam lingkuangan yang munasabah kerana itulah fitrah pendidikan yang sejati: merangkak, bertatih, berjalan sebelum berlari.
Buat masa ini: berfikirlah dulu dengan masalah-masalah dalam konteks siswa. Misalnya bagaimana menjawab soalan exam dengan lebih kritikal dan analitik. Bukan dengan jawapan terlalu klise dan generik. Seperti gajah dan sawit yang menunggang basikal.
Tidak. Saya bukan suruh kamu jadi ulat buku, atau katak bawah tempurung. Saya mencabar kamu untuk jadi pemikir. Dan ia harus bermula dengan fokus. Mengikut kapasiti upaya yang kamu ada ketika ini.
Sebagai seorang mahasiswa.
- Dr. Ramzah Dambul, Universiti Malaysia Sabah.
*****
Dr. Ramzah Dambul merupakan salah seroang ahli akademik di Universiti Malaysia Sabah yang merupakan salah satu produk universiti tempatan, juga pernah bergelar mahasiswa di Universiti Malaya.
Sumber: Facebook Rem Dambul
0 Comments
P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.
Emoji