Doa Perpisahan

Siapa yang mahukan perpisahan? Tiada sesiapa pun mahukan perpisahan. Jika diminta sekalian manusia, mereka sememangnya takkan mahukan perpisahan. Namun inilah lumrah hidup. Perpisahan itu salah satu yang ditetapkan dalam kehidupan. Sama ada perpisahan kerana jarak, ataupun perpisahan kerana kematian.

Seandainya kita mahukan pertemuan, janganlah takut akan perpisahan kerana semua pertemuan akan diikuti dengan perpisahan.

Inilah yang bakal berlaku untuk beberapa minggu lagi. Perpisahan bakal berlaku. Perpisahan yang memungkinkan tiada lagi pertemuan selepas itu. Perpisahan yang membawa setiap orang ke jalan masing-masing, untuk membina nasib masing-masing.

Aku juga tak gemarkan perpisahan, tetapi aku sudah bersedia untuk berpisah. Aku juga sukakan pertemuan, namun di awal pertemuan, aku sudah lama menjangkakan perpisahan. Walaupun begitu, aku tak menjangkakan pada awal pertemuan itu... yang aku akan membacakan doa perpisahan untuk semua. Aku tak pernah menjangkakan yang aku akan mendoakan untuk satu perpisahan.

Di kala doa itu dibacakan, tanganku mula menggeletar. Nafasku mula terputus-putus. Suaraku lemah dan tersangkut-sangkut di kotak suara. Lututku menjadi lemah. Kakiku menggeletar. Jantungku berdegup kencang. Wajahku menjadi muram. Itulah yang berlaku... ketika aku membacakan doa perpisahan itu. Doa yang tak pernah aku jangkakan untuk aku bacakan.

Memang benar aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk sekalian sahabat, tetapi doa itu menjadikan diri aku gemuruh, menggeletar dan berdebar; sampaikan tiada daya lagi untuk aku berdiri. Hanya dengan ketabahan sahajalah yang menampung diri aku untuk terus tegak sebelum tumbang selepas doa habis dibaca.

Sahabat sekalian, berpisahnya kita tak bermakna terputusnya silaturrahim sesama kita. Berpisahnya kita tak bermakna terputusnya kasih sayang dan cinta sesama kita. Berpisahnya kita adalah untuk menjadikan kita lebih matang dan kuat, untuk menghadapi dunia kehidupan yang sebenar. Janganlah kita putuskan ikatan ini. Biarlah ikatan ini terus erat, walaupun kita pernah berselisih faham, pernah rasa kecewa sesama kita, juga pernah melukakan sesama kita. Biarkan kisah itu menjadi cerita indah yang dahulunya membuat kita muram, akan memberikan kita senyuman kenangan pada masa akan datang.

*****

FKM UMP M05/M09 Class of 2008/12
Fizah, Fad, Ally, Sap, Fatiehah, Syafik, Ke'on, Ayu, Fitrina, Diyana, Miza, Wawa, Nina, Erin
Din, Faizal, Hafiz, Kucai, Alep, Mirul, Ayul, Amin, Joe, Dann, Syahmi
Tiada dalam gambar:
Azrul, Nani, Santhana, Ravi, Saifudeen.

*****

The Lion Story feat. Zahidah - Lagu Teman

*****

Brothers - Doa Perpisahan

*****


Post a Comment

0 Comments