Ulasan Penuh 'Secangkir Kopi Karamel'.


Pengenalan
Secangkir Kopi Karamel adalah novel tulisan Ijazati Habib adalah novel kedua tulisannya. Setelah terbitnya novel pertamanya yang bertajuk 'Ros Biru Untuk Dia' pada Januari 2012, dia terus menulis novel kedua ini bagi meneruskan lagi 'kariernya' sebagai penulis. Novel ini telah diterbitkan oleh Jemari Seni Sdn. Bhd. pada Julai 2013 dengan kod ISBN: 978-967-0508-29-0.

Skop Ulasan
Ulasan novel ini akan merangkupi plot, jalan cerita dan watak-watak di dalam novel ini.

Ulasan 1: Cerita dan Plot
Plot bagi novel ini dimulakan dengan pengenalan pembaca kepada Irdina dan Yushah yang mempunyai hubungan yang sangat rapat di universiti yang sama mereka belajar. Permulaan cerita juga menunjukkan bagaimana Irdina dan Rayyan diperkenalkan, selain beberapa watak lain seperti Mardhiah, Anisa dan Yusrizal.

Perkembangan plot bagi novel ini adalah agak menarik, apabila kisah yang lebih berat bermula apabila Yushah menolak cinta Irdina dengan alasan tidak menerima 'perigi mencari timba'. Perkembangan plot yang kemas dan menarik memberikan bayangan awal tentang kisah Irdina dan Rayyan bakal menjadi suami dan isteri.

Plot utama dalam novel ini lebih banyak kepada cerita hubungan Irdina dan Rayyan sebagai suami dan isteri, dengan kisah-kisah dan cabaran sepanjang mereka menjadi suami isteri. Namun begitu, bermulanya kisah mereka ini juga memadamkan kewujudan watak Yushah pada tempoh yang panjang, sehinggalah di penghujung cerita ini, yang kemunculannya tidak begitu lama, kurang memberikan kesan besar di penghujung cerita.

Sepanjang kisah antara Irdina dan Rayyan, antara watak yang benar-benar memain peranan besar dalam membetuk kisah dan cabaran hubungan pasangan ini adalah penulis blog Kak Montel, Amri dan Mia, Timbalan Presiden Kelab Peminat Rayyan. Kewujudan kedua-dua watak inilah yang benar memberikan konflik dan cabaran besar dalam hubungan pasangan ini, manakala watak-watak lain hanya lebih kepada plot-plot tambahan yang diadun untuk tidak menjadikan novel ini 'senyap' dari sebarang cerita.

Sepanjang pengembangan watak dan plot, klimaks novel ini ditamatkan dengan anti-klimaks yang turun dengan perlahan kerana anti-klimaks utama, pengenalan kepada siapa penulis blog Kak Montel menambahkan satu plot baru di penghujungnya yang melambatkan proses penurunan anti-klimaks cerita ini, apabila Irdina dikesan menghidap kanser.

Penutup cerita ini agak landai. Namun begitu, penamat ceritanya agak menarik kerana berjaya membawa jauh dari tanggapan dan harapan pembaca terhadap penamat cerita ini, sedangkan penamat yang dihidangkan adalah sebaliknya. Begitupun, penamat cerita ini memberikan bayangan terhadap kemiripan dengan filem Hollywood yang terkenal yang dilakonkan oleh Adam Sandler dan Drew Barrymore, walaupun jalan ceritanya sangat berbeza.

Rating: 4/5

Ulasan 2: Watak Utama
Irdina: Seorang ahli farmasi yang berkahwin dengan seorang artis terkenal tanah air bukan atas dasar cinta merupakan seorang yang telah menghadapi masalah dalam kehidupannya sejak sebelum dilahirkan lagi. Ibunya telah meninggal dunia dan masih mempunyai bapa dan seorang ibu tiri dan adik tiri yang kurang memberikan perhatian dan kasih sayang kepadanya. Irdina juga mempunyai dua sahabat baik bernama Anisa dan Mardhiah, di samping Yushah yang merupakan sahabat karibnya sejak sekolah menengah.

Kedudukan Irdina sebagai watak utama adalah besar, apabila kewujudannya di dalam novel ini adalah menyeluruh. Setiap bab dan plot melibatkan sekali Irdina sama ada sebagai pemain utama plot atau pengisi plot sahaja. Kewujudan Irdina juga memainkan peranan besar dalam perubahan yang dilalui oleh suaminya, Rayyan, sahabat karibnya, Yushah serta bapanya, Hisyam.

Dari segi perwatakan, Irdina dilihat sebagai seorang yang tabah, namun dalam beberapa perkara, watak Irdina dilihat sebagai seorang yang lemah dan cepat mengambil keputusan terburu-buru. Ini terbukti setelah Yushah menolak cintanya dan apabila Mia meminta izin daripadanya untuk berkahwin dengan Rayyan. Ketabahannya pula ditunjukkan apabila pembaca dimaklumkan tentang kisah hidup Irdina sejak kecil dan setelah dikesan menghidap kanser otak tahap 2. Namun begitu, agak sayang kerana Irdina tidak ditunjukkan dengan simtom-simtom awal penghidap kanser otak sebelum dikesan kerana kewujudan simtom-simtom awal boleh serba sedikit membantu pengolahan jalan cerita yang lebih baik bagi membawa kepada bab Irdina dikenal pasti menghidap kanser.

Rating: 4/5

Rayyan: Rayyan Ammar Hazim merupakan seorang artis popular yang digilai ramai yang juga seorang graduan kursus seni bina. Berkahwin dengan Irdina atas dasar menjaga reputasi daripada difitnah penulis blog Kak Montel. Pada awalnya, Rayyan mempunyai hubungan yang dingin dengan bapanya kerana keengganannya memenuhi keinginan bapanya supaya tidak menjadi artis.

Selain Irdina, watak Rayyan juga berperanan besar dalam menentukan hala tuju perjalanan novel ini. Sebagai seorang artis, pastinya dirinya penuh dengan kontroversi dan gosip-gosip dalam dunia hiburan, yang juga menjadikan salah satu cabaran dalam hubungan antara Rayyan dan Irdina. Dia juga yang mempunyai rakan bernama Yusrizal dan pembantu peribadi bernama Razin.

Perwatakan Rayyan pada awalnya dikenalkan sebagai seorang lelaki yang jelek kerana langsung tidak menunjukkan peribadi yang lembut terhadap Irdina. Namun begitu, perwatakan sebenarnya yang penyayang dan penyabar ditunjukkan setelah dia mengahwini Irdina. Selain itu, Rayyan juga seorang yang sangat setia dan kasih kepada isterinya. Malah, dia juga setia kepada 'cinta pertamanya' yang ditemuinya 20 tahun yang lepas.

Rating: 4.5/5

Ulasan 3: Watak Sokongan
Yushah: Yushah pada awalnya dikenalkan sebagai rakan karib kepada Irdina. Namun begitu, setelah dia menolak cinta Irdina, watak Yushah ditenggelamkan dengan kisah perkahwinan Irdina dan Rayyan. Yushah bukanlah watak antagonis di dalam cerita ini, namun keputusannya yang menolak cinta Irdina menjadi titik tolak kepada bermulanya kisah yang lebih besar dalam novel ini.

Penggarapan watak Yushah sangat singkat. Adalah lebih menarik sekiranya Yushah juga terlibat secara cameo dalam bab-bab pertengahan bagi 'menghiaskan' lagi cabaran hubungan Irdina dan Rayyan dengan menguji hubungan mereka. Walaupun begitu, kemunculan semula Yushah di penghujung cerita tidak memberikan kesan yang besar, melainkan sebagai doktor yang menjalankan pembedahan kepada Irdina. Begitupun, pengkaitan Yushah yang menyambung pengajian pada awal cerita sebelum 'hilang' dari jalan cerita adalah baik apabila dia sudah menjadi pakar otak. Namun begitu, tempoh setahun (bermula dari Yushah kecewa dengan perkahwinan Irdina) sehingga dia menjadi pakar otak adalah agak kurang relevan kerana tempoh garis masa yang pendek jika dibandingkan dengan tempoh sebenar seorang menjadi doktor pakar.

Rating: 3.5/5

Kak Montel/Azmi: Azmi yang merupakan penulis blog Kak Montel juga merupakan watak sokongan yang besar pengaruhnya di dalam novel ini. Walaupun hanya dikenalkan sebagai Azmi pada penghujung novel, namun kewujudannya sebagai blog Kak Montel juga boleh diklasifikasikan sebagai wujud sejak awal novel lagi.

Kewujudan Kak Montel dari awal juga memberi kesan besar dalam pembentukan plot dan jalan cerita apabila fitnah-fitnahnya yang menjadi titik tolak perkahwinan antara Rayyan dan Irdina, serta kedinginan Irdina terhadap Rayyan selama dua minggu.

Kemunculan Kak Montel yang konsisten menunjukkan pengaruh yang baik dalam membentuk jalan cerita novel ini.

Rating: 4.5/5

Mia: Statusnya sebagai Timbalan Presiden Kelab Peminat Rayyan tidaklah memberi kesan yang panjang dalam novel, tetapi kemunculannya memberi kesan yang agak besar dalam novel ini. Dengan mereka cerita dan meminta keizinan Irdina untuk berkahwin dengan Rayyan menyebabkan hubungan Irdina dan Rayyan dingin seketika. Begitupun, status Mia dalam novel ini tidak dapat dipastikan setelah tidak muncul lagi dalam plot dan babak-babak seterusnya.

Rating: 3/5

Ulasan 4: Identiti
Penceritaan novel ini nampak lebih segar dan baharu. Walaupun bab-bab terakhir lebih banyak pembaca kenal dengan agak seperti filem 50 First Dates, namun corak perjalanan cerita dan plotnya jauh berbeza. Novel ini mempunyai identiti tersendiri dan pastinya menarik untuk dibaca. Malah, corak pembahasaan di dalam novel lebih santai memudahkan pembaca untuk menerima jalan cerita dengan baik.

Rating: 4.5/5

Penutup:
Tanpa dibandingkan dengan novel pertamanya, penulisan Ijazati Habib pada kali ini lebih matang dan kemas, walaupun masih mengekalkan trademark beliau dengan penggunaan Hello Kitty, Pink Panther dan watak utama perempuan yang blur.

Namun begitu, terdapat satu kesilapan editing telah dikesan dalam novel ini dalam perenggan pertama, muka surat 298 apabila ditulis ..." Anisa sedia maklum Rayyan menghantar dan menjemput Anisa pergi dan balik kerja..., sedangkan yang sebenarnya adalah Rayyan menghantar dan menjemput Irdina pergi dan balik kerja di dalam novel ini. Diharapkan kesilapan editing ini diperbaiki dalam cetakan kedua dan seterusnya.

Sebagai penutup, novel ini disyorkan untuk dibaca kerana pembaca boleh merasai perasaan yang berubah-ubah sepanjang perjalanan di dalam novel ini. Pastinya, pembaca akan dihidang dengan perasaan benci, gembira, sedih, kecewa dan sebagainya di dalam novel ini.

Rating keseluruhan: 4.5/5

-----

Untuk membeli novel ini secara atas talian, boleh layari laman sesawang rasmi Jemari Seni. Sila klik di sini.

Post a Comment

0 Comments