Islam tidak menyempitkan umatnya untuk melakukan kebaikan kepada penganut agama lain.


Banyak orang bangkitkan isu mengucapkan selamat kepada penganut agama lain apabila tiba satu perayaan mereka.

Pada aku yang tidak mempunyai ilmu fekah yang tinggi, aku berpegang kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, iaitu harus mengucapkan selamat kepada penganut agama lain, selagi aku tidak mengucapkan kata-kata puji-pujian kepada tuhan/dewa/dewi anutan mereka yang boleh mendatangkan syirik.

Sebahagian daripada keluarga besar aku adalah penganut Kristian Katolik. Apakah bermakna haram bagi aku untuk ucapkan selamat kepada mereka, merapatkan silaturrahim sesama mereka, dan berbaik mesra dengan mereka? Sedangkan mereka adalah ibu dan bapa kepada ibuku. Sedangkan mereka adalah adik-adik kepada ibuku. Sedangkan mereka adalah anak-anak saudara kepada ibuku?

Mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada mereka tidak sedikitpun melunturkan iman aku kepada Allah, malah menebalkan lagi iman aku kerana Allah mengurniakan aku dan keluargaku sebuah keluarga besar yang berbeza agama, agar dapat memahami dan mengenali antara satu sama lain tanpa prejudis dan timbul syak wasangka yang membawa kepada fitnah dalam hati terhadap penganut agama yang lain.

Benar, Islam tidak mengiktiraf konsep Trinity dalam ajaran Kristian. Namun, mengucapkan hari Krismas tidak bermakna aku mengiktiraf Trinity sebagai konsep ketuhanan. Mengucapkan hari Krismas tidak bermakna aku mengiktiraf Nabi Isa A.S itu anak tuhan.

Tidak sama ucapan Syahadah dengan ucapan Hari Krismas. Syahadah adalah ayat pengakuan Allah itu Tuhan Yang Satu dan Muhammas S.A.W adalah utusanNya, manakala ucapan Selamat Hari Krismas adalah ucapan selamat semata-mata.

Ucapan Selamat Hari Krismas tidak pula menyatakan kesaksian bahawa Nabi Isa A.S. (Jesus) itu anak Tuhan dan mengakui Holy Spirit dalam konsep Trinity dalam Kristian. Jangan bandingkan buah Epal dengan Mengkudu. Jangan samakan basikal dengan selipar.

Aku tak pandai melontarkan dalil. Aku tetap berpegang kepada hukum dan panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kerana mengucapkan selamat ini boleh mengeratkan hubungan dengan penganut agama lain.

Walaupun begitu, aku tidak menolak dalil-dalil yang dikeluarkan oleh imam-imam Salafi ASWJ.

Bukankah Islam itu mengajar umatnya untuk menyebarkan keamanan kepada seluruh alam, berbuat baik kepada semua manusia, termasuk penganut agama lain?

Wallahu'alam.

Post a Comment

0 Comments