Kebelakangan ini, terdapat beberapa isu yang dibangkitkan berkaitan dengan cuti hujung minggu pada hari Jumaat. Ada yang membantah, ada juga yang menyokong.
Jika dari sudut pendirian aku; aku tidak membantah dan aku juga tidak terlalu menyokong cuti hujung minggu pada hari Jumaat. Namun, pendirian aku lebih condong kepada tidak ada keperluan besar untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti hujung minggu.
Poin pertama aku untuk pendirian aku adalah berdasarkan ayat 10 Surah Al-Jumu'ah.
فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya : “Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung.” (Surah Al-Jumu’ah, 62: ayat 10)
Pada ayat ini, Allah SWT menerangkan bahawa setelah selesai melakukan solat Jumaat boleh bertebaran di muka bumi melaksanakan urusan duniawi, berusaha mencari rezeki yang halal, sesudah menunaikan yang bermanfaat untuk akhirat. Hendaklah mengingat Allah SWT sebanyak-banyaknya di dalam mengerjakan usahanya dengan menghindarkan diri dari kecurangan, penyelewengan dan lain-lainnya, kerana Allah Maha Mengetahui segala sesuatu, yang tersembunyi apalagi yang nampak nyata.
Maka, Allah telah memerintahkan untuk sekalian umat Islam terus mencari rezeki selesainya menunaikan solat Jumaat, bukannya memerintahkan umat Islam untuk beristirahat.
Poin kedua aku juga ada melibatkan dengan poin pertama aku di atas.
Kita sepatutnya tidak boleh menjadikan alasan sibuk bekerja untuk meninggalkan solat Jumaat. Malah, sekalipun banyak rezeki yang datang pada hari Jumaat itu, setiap laki-laki Islam wajib meninggalkan tugasan-tugasannya untuk beribadah kepada Allah. Malah, ini boleh terus mendidik umat Islam agar terus berdisiplin untuk mengurus masa dan menepati tuntutan kewajipan agama.
Poin ketiga aku adalah 'Malam Jumaat vs Thursday Night Fever'.
Bagi umat Islam, malam Jumaat biasanya dihidupkan dengan amalan-amalan membaca surah Yassin atau surah Al-Kahfi atau apa-apa amalan yang baik untuk meraikan kedatangan penghulu segala hari, iaitu hari Jumaat.
Bagaimana pula dengan kaki-kaki sosial? Pastinya mereka akan meraikan malam hujung minggu dengan aktiviti-aktiviti sosial yang mencemarkan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari.
Ustaz Datuk Abu Hassan Din pernah mengeluarkan pendapatnya dalam salah satu episod rancangan Pesan Atok di TV9; beliau menyatakan untuk menjaga kesucian hari Jumaat, beliau lebih bersetuju sekiranya hari Jumaat tidak dijadikan hari cuti hujung minggu. Hal ini adalah bersangkut paut dengan aktiviti-aktiviti sosial yang biasa dilakukan oleh kaki-kaki sosial di malam hujung minggu untuk bersosial dan bergembira melampaui batas.
Poin keempat aku berkaitan dengan 'Sabbath vs Solat Jumaat'.
Banyak yang membangkitkan kenapa perlu 'menyanjung' Kristian dengan memberikan hari cuti Ahad untuk mereka ke gereja, sedangkan Jumaat tidak ada cuti untuk umat Islam solat Jumaat di masjid?
Aku agak hairan dengan soalan ini kerana bagi aku, biarlah kalau Ahad yang cuti itu untuk mereka ke gereja. Kita tidak perlu tiru umat Kristian untuk mencutikan hari Jumaat untuk dijadikan 'Sabbath day' untuk umat Islam.
Berbalik kepada poin pertama di atas, Allah memerintahkan umatNya untuk bertebaran di buminya supaya meneruskan mencari rezeki, iaitu melakukan tugas-tugasan dunia, kerana Allah akan mengurniakan kebaikan kepada umatNya. Jadi, kita sebagai umat Islam tidaklah perlu untuk menjadikan hari Jumaat sebagai 'Sabbath day' untuk umat Islam. Adalah lebih baik jika umat Islam terus berusaha untuk memperoleh rezeki selepas solat daripada terus beristirahat yang tidak memberikan produktiviti.
Rumusan
Apa pun poin, sokongan mahupun bangkangan, inilah pendirian aku. Aku tidak membantah dan aku juga tidak terlalu menyokong cuti hujung minggu pada hari Jumaat. Namun, pendirian aku lebih condong untuk tidak menggalakkan meletakkan hari Jumaat sebagai hari cuti hujung minggu kerana tidak ada keperluan besar untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti hujung minggu, dan tiada nas-nas yang jelas mewajibkan atau memfardukan hari Jumaat sebagai hari berehat untuk umat Islam. Malah, Allah telah memerintahkan umat Islam untuk terus bertebaran di muka bumi ini untuk membuat hal-hal urusan dunia termasuk mencari rezeki, nescaya akan kita peroleh keuntungan dariNya.
-----
Jika ada perselisihan pendapat, bolehlah berbincang dengan tertib. Elakkan menggunakan ayat-ayat provokasi mahupun menghentam pendapat orang lain.
0 Comments
P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.
Emoji