Pernah diceritakan di selatan tanah air, ada seorang ibu suka membebel apabila anaknya suka sangat makan Maggi. Bukanlah si ibu itu benci kepada Maggi tetapi dia berasa takut jika anaknya menerima nasib yang sama seperti anak jirannya yang baru sahaja meninggal minggu lepas.
Menurut jirannya, si anak jirannya itu gemar sangat makan Maggi. Kalau bukan waktu sarapan, pasti akan dimakannya pada waktu tengah hari. Kalau bukan tengah hari sekali pun, pasti menu makan malam si anak jiran itu adalah Maggi.
Apatah lagi menu kegemaran si anak itu perisa Asam Laksa. Alah, Meggi bungkusan berwarna biru tu.
Tabiatnya tak dapat dihalang. Kalau dihalang sekalipun, pasti akan dicuri-curinya memasak dan makan Maggi tanpa pengetahuan ibunya.
Namun, pada suatu hari... anak jirannya tiba-tiba meninggal dunia secara mengejut. Berita kematiannya menggemparkan suasana seluruh perumahan tempat tinggalnya. Sampaikan tok siak, tok kadi dan tok mudim berhenti melakukan tugas masing-masing apabila dapat tahu kematiannya.
Menurut si ibu, punca kematian anaknya itu semuanya berpunca dari tabiat anaknya yang gemar sangat makan Maggi.
Berita ini mendapat perhatian Jabatan Kesihatan Negeri malah pihak polis juga turut ambil peduli akan kes kematian ini.
Apabila diselidiki, semua bersepakat yang Maggi adalah punca utama kematian budak tersebut.
Setelah dibuat simulasi kematian, hasil mendapati bahawa budak tersebut mati dilanggar motokar ketika melintas jalan menuju ke kedai runcit di seberang jalan rumahnya untuk membeli stok Meggi perisa ayam.
Demikian itulah yang menyebabkan si ibu tadi memarahi anaknya yang gemar makan Maggi akibat kejadian kematian anak jirannya yang meninggal kerana Maggi.
0 Comments
P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.
Emoji